Thursday, 13 December 2012

Mari Membaca.....

Boria yang popular di Pulau Pinang boleh dikatakan sebagai salah satu
bentuk teater dan mulai bertapak sejak pertengahan abad ke-19 atau
antara tahun 1845 dan 1874. Kesenian ini dikatakan berasal daripada
cabang kesenian Parsi. Boria dibawa ke negeri tersebut oleh pedagang- pedagang berketurunan India yang menganut agama Islam.


Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan
nyanyian. Nyanyian boria yang diketuai oleh seorang tukang karang
biasanya akan memegang sebatang tongkat penunjuk ketika menyanyi
sambil menari. Sailor yang terdiri lebih dari enam orang di belakang
tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama
nyanyian tukang karang untuk menegaskan lagi lirik boria berunsur
nasihat dalam bentuk jenaka.


Menurut ahli kumpulan boria bahawa alat-alat muzik yang
digunakan semasa persembahan boria juga telah berubah mengikut
peredaran masa. Namun begitu, penggunaan alat-alat muzik seperti
violin, marwas, gendang panjang, akordian, harmonika secara umumnya
masih dikekalkan.


Boria sentiasa mempunyai tempat dalam masyarakat dahulu dan
sekarang. Persembahan boria bukan sahaja untuk masyarakat di Pulau
Pinang malahan tersebar luas di negeri-negeri lain terutamanya di utara
Semenanjung Malaysia. Kini kita ketahui bahawa boria mula merentas
sempadan etnik kerana bukan sahaja diminati oleh orang Melayu tetapi
juga etnik lain yang terdapat di Malaysia.

No comments:

Post a Comment